Rodiyah Salur RM103,000 Kepada Masjid & Surau Sempena Jelajah Jalinan Kasih Ramadan
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, menyalurkan dana berjumlah RM103,000 kepada sembilan masjid dan 11 surau di daerah Simunjan bagi menyokong pengurusan serta aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.
Selain itu, seramai 35 penerima dari Zon 3 Sungai Apin turut menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai bagi meringankan beban persiapan menyambut Aidilfitri.
Rodiyah berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya sepanjang Ramadan.
“Saya akan terus turun padang ke seluruh kawasan Batang Sadong termasuk Sadong Jaya, Simunjan dan Gedong sepanjang Ramadan ini bagi memastikan masyarakat tidak terpinggir,” katanya.
Menurut beliau, senarai penerima bantuan dikenal pasti oleh Ketua Kampung bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan projek membina baharu parit konkrit sepanjang 200 meter di Kampung Tanjung Pisang di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dengan kos RM150,000.
Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur tersebut penting bagi meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk setempat.
Turut hadir, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Rafendy Ariffen, wakil kepada Pegawai Daerah Simunjan Mohd Raili Jawawi serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Amilin Kampung Tanjung Pisang Hassan Sanawi. -EDISI UKAS