Sarawak Perlu Kekal Bersatu & Teguh Hadapi Fasa Kritikal
SIBU: Sarawak perlu kekal bersatu dan berdiri teguh ketika memasuki fasa kritikal pembinaan negeri bagi memastikan hala tuju pembangunan tidak terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, berkata perpaduan serta keberanian amat penting untuk memastikan negeri ini terus bergerak ke hadapan.
“Dalam situasi seperti ini, perpaduan amat penting. Bukan sahaja kita perlu bersatu, malah kita mesti kekal teguh. Jika kita tidak teguh, sedikit tolakan sahaja boleh menyebabkan kita tumbang.
“Namun, jika kita kekal teguh, lima tahun akan datang akan menjadi tahun kebanggaan bagi rakyat Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) di sini, pada Jumaat.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata, keberanian Sarawak mengambil tindakan tegas, termasuk membawa isu berkaitan minyak dan gas ke mahkamah bagi mempertahankan hak negeri, mencerminkan kesediaan kepimpinan negeri untuk bertindak berani pada saat genting.
Jelasnya, langkah ini diambil kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berani bertindak manakala pihak lain teragak-agak dan takut.
“Jika kita menang, akhirnya kita dapat menjelaskan apa yang berlaku 50 tahun lalu. Namun, jika kita kalah, akibatnya akan menjadi sangat buruk,” katanya.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyentuh ketahanan SUPP yang ditubuhkan pada 1959 dan kekal relevan selama 67 tahun.
Ujarnya, perjalanan 67 tahun ini bukanlah mudah, apabila banyak parti politik lain bukan sahaja merosot, malah lenyap sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu namun SUPP tetap teguh kerana rakyat Sarawak yang menyokong dan terus menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Hadir sama isteri kepada Timbalan Premier Sarawak Datin Amar Enn Ong, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hing, ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau Kor Jie serta Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai. -EDISI UKAS