UTS, ASAUB Meterai MoU, Perluas Kerjasama Akademik & Penyelidikan
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti ASA Bangladesh (ASAUB) bagi memperluas kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan pertukaran pelajar.
Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta meningkatkan keterlihatan institusi di peringkat global.
“Kerjasama ini merangkumi penyelidikan bersama, penyeliaan akademik, pertukaran pelajar dan pensyarah serta pembangunan program akademik dan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua institusi,” katanya pada majlis pemeteraian berkenaan pada Jumaat.
Beliau menambah, MoU tersebut turut membuka ruang untuk meneroka lebih banyak peluang kolaborasi penyelidikan dan memperluas mobiliti pelajar bagi meningkatkan pendedahan serta kepakaran antarabangsa mereka.
Menurutnya, UTS yang kini memasuki tahun ke-13 penubuhannya mencatat pertumbuhan ketara dengan jumlah pelajar meningkat daripada kira-kira 1,000 orang pada awal operasi kepada 6,500 pelajar ketika ini.
Katanya, komposisi hampir seimbang antara pelajar prasiswazah dan pascasiswazah mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa agenda penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Selain itu, UTS turut memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti tenaga akademik termasuk menambah bilangan profesor dan profesor madya serta merekrut pakar dari luar negara.
“UTS menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar prasiswazah terdiri daripada pelajar antarabangsa menjelang 2030,” ujarnya.
Kerjasama berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi yang berdaya saing.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor ASAUB Profesor Dr. S. M Rezaul Karim, Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Profesor Dr. Mohd Shahril Osman, Pendaftar UTS Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UTS Profesor Dr Winnie Wong Poh Ming, Dekan Fakulti Alam Bina UTS Profesor Madya Dr Dayang Siti Hazimmah Ali, Dekan Pusat Pengajian Asasi UTS Kong Sieng Huat, Pengarah Pusat Penerbitan UTS Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Abong Abdullah dan Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa UTS Dr Gary Loh Chee Wyai. -EDISI UKAS