MUKAH: Sebanyak 300 bungkus bubur kacang telah diagihkan kepada pengguna jalan raya dalam satu program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Mukah, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine menegaskan, penglibatan warga emas dalam aktiviti seumpama ini mampu memupuk semangat kebersamaan, memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai murni dalam komuniti.
“inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan golongan warga emas untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial masyarakat,” katanya ketika ditemui.
jelasnya, institusi seperti PAWE bukan sekadar menjadi pusat aktiviti sosial, sebaliknya berfungsi sebagai platform memperkukuh nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat Mukah.
Sementara itu, Pengerusi PAWE Mukah Yahya Mat berkata, program tersebut bertujuan menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan serta mengimarahkan bulan mulia dengan semangat perkongsian rezeki.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan bahawa inisiatif kebajikan seperti ini sentiasa dialu-alukan masyarakat setempat. -EDISI UKAS