Kemajuan Sarawak Hasil Perpaduan Rakyat Pelbagai Kaum
SPAOH: Kemajuan Sarawak hari ini adalah hasil perpaduan kukuh rakyat pelbagai kaum yang sentiasa bekerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perayaan yang diraikan bersama menjadi pemangkin kepada perpaduan tanpa mengira latar belakang.
“Semangat kebersamaan yang diamalkan ketika sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak menjadi tunjang kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Gong Xi Fa Chai Tahun 2026 Peringkat Daerah Kecil Spaoh anjuran Persatuan Tiong Hua Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh pada Jumaat.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu memaklumkan, terdapat beberapa projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan tersebut, termasuk pembinaan jambatan, pembangunan infrastruktur, projek perumahan serta usaha memperkasa sektor pertanian dan perniagaan tempatan.
Tambahnya, projek Jambatan Batang Lupar 2 yang bakal siap dijangka memendekkan masa perjalanan dari arah Sri Aman ke Betong dan Spaoh akan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu mengumumkan kelulusan beberapa peruntukan, iaitu RM50,000 kepada Persatuan Tiong Hua Spaoh selaku jawatankuasa penganjur, RM20,000 kepada Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Spaoh, RM20,000 kepada PIBG SJKC Chung Hua Spaoh, RM50,000 kepada Tokong Cina Spaoh serta RM100,000 bagi projek kerja-kerja di Kubur Cina Spaoh.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Richard Rapu turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM35,000 kepada lima badan NGO komuniti Cina Spaoh iaitu The Saribas Spaoh Tiong Hua Association (RM10,000), Spaoh Chinese Temple Charitable Trust Board (RM5,000), Persatuan Tiong Hua Spaoh (RM5,000), Lembaga Pengurus Sekolah SJKC Chung Hua Spaoh (RM10,000) serta Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan SJKC Chung Hua Spaoh (RM5,000). -EDISI UKAS