Kisah Unik Masyarakat Iban Berpotensi Angkat Identiti Sarawak ke Pentas Dunia
MIRI: Kisah unik masyarakat Iban dilihat mempunyai daya tarikan sejagat dan wajar diketengahkan sebagai identiti Sarawak yang bertaraf dunia, selari dengan usaha memperkasa ekonomi kreatif negeri dan negara.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew ketika merasmikan Majlis Penutupan Pameran Instalasi Komik bertajuk “Apai Alui Becomes A Shaman” anjuran Curtin University Malaysia di Perpustakaan Komuniti MBM Lutong, di sini, Sabtu.
Menurut beliau, penterjemahan kisah rakyat Iban “Apai Alui” ke dalam medium komik kontemporari membuktikan bahawa warisan tradisi bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya aset budaya yang mampu menembusi pasaran lebih luas sekiranya diolah secara kreatif dan strategik.
“Cerita rakyat masyarakat Iban sarat dengan nilai, falsafah dan pandangan alam yang bersifat universal. Jika digarap secara profesional dan inovatif, ia bukan sahaja mampu memperkukuh identiti Sarawak, malah berpotensi diketengahkan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup pameran yang mempamerkan hasil penyelidikan kreatif calon Sarjana Media, Budaya dan Seni Kreatif, Britto Augustus, yang mengangkat naratif tradisi lisan ke dalam bentuk visual yang lebih segar dan mudah diakses generasi muda.
Tambah beliau, pendekatan penyelidikan berasaskan amalan (practice-based research) yang diterapkan menerusi projek tersebut selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh “Ekonomi Oren” atau ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
“Apabila hasil penyelidikan dibawa keluar dari institusi pengajian dan dipamerkan dalam ruang komuniti, ia membuka ruang interaksi dua hala antara akademia dan masyarakat. Di sinilah warisan budaya menjadi hidup, dinamik dan relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Media dan Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Kesihatan Terry Justin berkata pameran tersebut menjadi platform penting dalam menggabungkan tradisi lisan masyarakat Iban dengan pendekatan seni moden, sekali gus memperlihatkan potensi besar karya tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sebastian Ting atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif di Sarawak serta kepada Majlis Bandaraya Miri yang menyediakan ruang strategik bagi menjayakan pameran tersebut.
Majlis turut diserikan dengan sesi lawatan berpandu pameran dan pembentangan oleh Britto Augustus, diikuti sesi fotografi serta jaringan bersama para hadirin.
Penganjuran pameran seumpama ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memartabatkan kisah masyarakat Iban sebagai khazanah budaya yang bukan sahaja memperkukuh jati diri negeri, malah berupaya menjadi wajah Sarawak di pentas dunia menerusi medium kreatif yang inovatif dan berdaya saing. — EDISI UKAS