KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Sarawak menyumbangkan sebanyak 100 topi keledar yang diedarkan kepada orang awam yang menggunakan stesen minyak PETRONAS Darul Hana sempena sokongan kepada Kempen Keselamatan Jalan Raya dalam Program Ramadan Prihatin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini memberi peluang terutama sekali kepada keluarga muda yang tidak berkemampuan membelinya sendiri.
"Jadi ini peluang terbaik ada juga orang tua (yang menerima) sebab mereka ini sebahagiannya kadang kadang kurang mampu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ramadan Prihatin: Majlis Penyerahan Bubur Lambuk dan Kempen Keselamatan Balik Kampung di stesen minyak tersebut pada Sabtu.
Dato Sri Nancy menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada PETRONAS Sarawak kerana memberikan sumbangan yang lain daripada lain.
Ahli Parlimen Santubong itu turut berharap sumbangan turut diteruskan di kawasan yang lain dalam usaha menyantuni orang awam.
Pada masa sama, beliau turut melakukan simbolik penyerahan bubur lambuk kepada orang awam yang di stesen minyak tersebut.
Difahamkan, sebanyak 1,000 bubur lambuk diagihkan sempena Program Ramadan Prihatin tersebut. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Safizul Fa'izad Paisan