KANOWIT: Nilai perpaduan dan jati diri komuniti yang teguh merupakan kunci utama bagi memastikan Sarawak terus memacu kemajuan serta dihormati di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini sedang bergerak ke hadapan selari dengan agenda utama Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
"Sepuluh tahun lepas, apabila kita menyatakan kita berasal dari Sarawak, mungkin ada yang memandang rendah.
“Namun hari ini, apabila kita menyebut nama Sarawak, orang ramai memandang tinggi kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kebajikan Kaum Cina N50 Machan dengan kerjasama Komuniti Cina Kanowit, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim, perubahan persepsi itu adalah hasil daripada kepimpinan yang kukuh, pengurusan kewangan yang berhemah serta keutuhan perpaduan rakyat.
Meskipun Sarawak kini diiktiraf atas kestabilan politik dan kekuatan ekonominya, beliau mengingatkan masyarakat bahawa usaha memperkasakan infrastruktur seperti jaringan jalan raya, hospital dan sekolah tetap menjadi keutamaan yang perlu diteruskan.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menggesa masyarakat Cina di kawasan Machan agar terus mengekalkan perpaduan dan berpandangan jauh.
"Kita kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh, namun masih banyak perkara yang perlu dikejar.
“Pembangunan mestilah berkesinambungan dan ini menuntut kita semua untuk bergerak maju bersama-sama," jelas beliau.
Menyentuh mengenai aspek kebajikan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim menekankan komitmen kerajaan negeri terhadap pendidikan percuma dan peningkatan akses perkhidmatan kesihatan, termasuk usaha memperkukuh kemudahan rawatan kanser di Sarawak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, dalam ucapan aluannya menghargai komitmen Datuk Amar Profesor Dr. Sim untuk bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina bersama komuniti di Machan, khususnya untuk masyarakat Cina di sini.
“Ini merupakan kali pertama sejak saya menjadi wakil rakyat, kita dapat mengumpulkan masyarakat Cina dari Machan di dewan ini. Saya percaya kira-kira 700 orang hadir hari ini,” katanya.
Hadir sama ADUN Ngemah Anyi Jana, Temenggong Vincent Lau Lee Ming, Pemanca Leong Khing Hee, Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut dan Ketua Polis Kanowit Junical Ujal. - EDISI UKAS