Majlis Berbuka Puasa Dan Sambutan TBC 2026 Erat Perpaduan Masyarakat Mukah
MUKAH: Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Daerah Mukah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Dato Hanifah menzahirkan rasa syukur melihat masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang dapat berhimpun bersama dalam suasana penuh harmoni bagi meraikan dua perayaan utama secara serentak.
"Keunikan sambutan di Sarawak terserlah apabila sesuatu perayaan bukan sahaja diraikan oleh satu kaum, malah disambut bersama sebagai sebuah keluarga besar yang saling menghormati dan memahami," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Cina Bahagian Mukah selaku penganjur bersama serta Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Mukah dan pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut.
Tambah Dato Hanifah, penganjuran majlis berkenaan dalam bulan Ramadan turut menggambarkan keindahan kepelbagaian budaya di negeri ini yang berteraskan toleransi serta persefahaman antara kaum.
Beliau berharap semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Mukah akan terus dipelihara demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan setempat dapat dicapai secara bersama.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Veronica Lugah, Pengarah Bahagian Pematuhan & Pembangunan Industri, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Ts. Mahamad Sukor Senapi dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ts. Zailina Abdul Majid. - EDISI UKAS