SABERKAS Cawangan Muara Tuang Agihkan 1,400 Bubur Lambuk
KOTA SAMARAHAN: Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Muara Tuang Tahun 2026 berjaya mengagihkan 1,400 bekas bubur lambuk kepada penduduk setempat sempena Ramadan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, menyifatkan penganjuran jerayawara itu sebagai manifestasi semangat kebersamaan, perpaduan dan nilai kesukarelawanan dalam kalangan belia serta masyarakat.
Menurut beliau, amalan penyediaan dan pengagihan bubur lambuk bukan sahaja menjadi tradisi yang sinonim dengan Ramadan, malah menjadi platform terbaik untuk memupuk nilai sedekah, memperkukuh ukhuwah dan menyantuni golongan memerlukan.
“Tahun ini merupakan tahun ke-20 jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS dilaksanakan di seluruh Sarawak. Ini membuktikan komitmen berterusan pertubuhan belia ini dalam mendekati masyarakat serta menyemarakkan bulan penuh keberkatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah menyeru lebih ramai golongan belia di kawasan DUN Muara Tuang agar menyertai SABERKAS sebagai wadah pembangunan diri, kepimpinan dan khidmat masyarakat.
“SABERKAS bukan sekadar menganjurkan program kebajikan seperti bubur lambuk, malah turut aktif dalam penganjuran program pendidikan, sukan, riadah dan pembangunan belia di peringkat negeri serta cawangan. Inilah platform untuk melahirkan belia berakhlak, berdaya saing dan berjiwa masyarakat,” ujarnya.
Pada majlis sama, SABERKAS Cawangan Muara Tuang turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau (JKP) Surau Darul Ikhlas Kampung Empila Hulu bagi menyemarakkan aktiviti surau, selain menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf dari Kampung Empila.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa amalan bersedekah merupakan tuntutan penting dalam Islam, apatah lagi pada bulan Ramadan yang menjanjikan ganjaran berlipat ganda.
“Solat dan puasa manfaatnya kembali kepada diri kita, namun sedekah memberi manfaat terus kepada mereka yang menerima. Program seperti ini adalah simbolik amalan kebajikan yang harus diteruskan,” katanya.
Program tersebut merupakan kolaborasi antara SABERKAS Cawangan Muara Tuang bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ikhlas Kampung Empila Hulu serta pertubuhan setempat.
Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPKS Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Gustian Durani, wakil Ketua Polis Daerah Kota Samarahan ASP Ahmad Roshul Ab Rashid serta wakil SABERKAS Negeri Sarawak Louisa Suly Nanta. -EDISI UKAS