Perpaduan Belia Pelbagai Kaum Kunci Kekuatan Meradong
BINTANGOR: Perpaduan dan kerjasama antara belia pelbagai kaum merupakan kekuatan utama dalam memacu pembangunan Daerah Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan belia Melayu, Cina dan Iban perlu terus dipupuk bagi memastikan keharmonian serta kemajuan masyarakat setempat dapat dikekalkan.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Bersama Belia Daerah Meradong anjuran SABERKAS Cawangan Meradong sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2026 dan Majlis Berbuka Puasa di sini pada Jumaat.
Menurut Datuk Ding, golongan belia perlu sentiasa mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembangunan komuniti, keusahawanan, pendidikan dan kesukarelawanan.
Tambah beliau, penglibatan aktif golongan muda amat penting kerana mereka merupakan aset berharga dalam memastikan pembangunan daerah terus bergerak maju.
Dalam majlis itu, Mesyuarat Tri Tahunan Unit SABERKAS Cawangan Meradong turut diadakan bagi memperkemaskan struktur organisasi dan memastikan gerak kerja yang lebih tersusun serta berkesan untuk tempoh akan datang.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu bagi Unit Melayu, Unit Cina dan Unit Iban.
Abang Husen dilantik sebagai Pengerusi Unit Melayu, Ley Chee Hua sebagai Pengerusi Unit Cina manakala Dominic Amor sebagai Pengerusi Unit Iban.
Seramai 140 belia dari seluruh Daerah Meradong hadir memeriahkan majlis berkenaan yang turut menjadi platform memperkukuh silaturahim serta perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda Negeri dan Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong Merangkap Pengerusi Pengelola Ley Chee Hua, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong Helmi Morsili, Ketua Pemuda Parti SUPP Cawangan Dudong Kaunselor Yiing Siing Hua dan Setiausaha SABERKAS Cawangan Meradong Dominic Amor.-EDISI UKAS