Empat Penduduk DUN Layar Terima Rumah Dibaik Pulih Melalui PPRS
BETONG: Empat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar menerima manfaat daripada pelaksanaan projek baik pulih kediaman menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Majlis serah projek siap itu diadakan di beberapa lokasi iaitu Rumah Panjang Stambak Ili, Nanga Ban, Semumok Atas dan Lempaong Betong dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat kerana berjaya memastikan kerja-kerja pembaikan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut membolehkan penerima menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk luar bandar.
Projek PPRS tersebut dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Pejabat Daerah Betong bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong sebagai agensi teknikal.
Setiap penerima menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih rumah, dengan tempoh pelaksanaan selama empat minggu bermula 30 Januari hingga 28 Februari 2026.
Salah seorang penerima, Ugam Sang dari rumah panjang Stambak Ili, melahirkan rasa syukur serta merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana memilih beliau sebagai penerima projek PPRS pada tahun ini.
Beliau menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan kediamannya sekeluarga.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Betong Christina Peter, Pegawai Teknikal dari JKR Bahagian Betong Christina Bada serta Penghulu Kawasan Layar Ili Sebastian Randi.-EDISI UKAS