Datuk Dr Jerip Seru Sokongan Rakyat Terhadap Inisiatif Pembangunan Kerajaan
PADAWAN: Rakyat di negeri ini diseru untuk terus memberi sokongan padu terhadap inisiatif pembangunan yang dibawa Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, berkata sepanjang tempoh pemerintahan GPS selama ini, pelbagai bentuk pembangunan telah dilancarkan termasuk sektor ekonomi hijau, pembangunan infrastruktur dan pelbagainya, demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Saya berharap agar semua program pembangunan yang telah dan sedang dirancangkan akan terus disokong.
“Saya juga berharap agar rakyat untuk terus memberi mandat kepada kerajaan GPS bagi meneruskan kesinambungan program-program pembangunan yang ada di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian UKAS Bersama Komuniti Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, di sini, pada Sabtu.
Menyentuh mengenai program, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong penganjuran seumpama ini bukanlah sekadar keraian untuk kaum Cina, malah melibatkan kaum-kaum lain.
“Memang benar kerana kita adalah suatu masyarakat yang berbilang kaum, berbilang bangsa dan berbilang agama di mana setiap-setiap perayaan untuk satu tahun akan dirayai oleh semua lapisan masyarakat secara bersama,” ujarnya lagi.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bakul makanan dan ‘Angpao’ kepada 10 orang penerima yang terdiri daripada golongan rentan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Timbalan Residen Bahagian Kuching Lim Hock Meng, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mewakili Pengarahnya Joachim Paggang Jabong, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pengerusi Pengelola Bersama program Kapitan Loo Guan Cheat. -EDISI UKAS