Edaran Bubur Pedas Semarakkan Program MKJR di Dalat
DALAT: Edaran bubur pedas kepada pengguna jalan raya dan masyarakat setempat memeriahkan penganjuran Program Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) yang diadakan di daerah ini pada Sabtu.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib telah menyempurnakan pengagihan berkenaan.
Sebanyak 400 pek bubur pedas diagihkan kepada pengguna jalan raya serta penduduk sekitar sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan sempena Ramadan.
Edaran berkenaan turut disertakan dengan pesanan ringkas yang mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi menjamin keselamatan semua pengguna.
Dalam pada itu, sebanyak 400 pek bubur pedas turut diedarkan di Oya Square oleh barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Dalat kepada masyarakat setempat.
Menurut Dato Hanifah, program seumpama ini bukan sahaja berperanan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Setiap pengguna perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan demi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini,” tambahnya.-EDISI UKAS