Projek Pembinaan Semula Bangunan SJKC Chung Hua Debak Capai Kemajuan 60 Peratus
DEBAK: Projek pembinaan semula bangunan SJKC Chung Hua Debak kini telah mencapai kemajuan sekitar 60 peratus
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun ini.
"Dimaklumkan bahawa projek tersebut kini telah mencapai kemajuan sekitar 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun ini untuk digunakan oleh murid-murid pada sesi akademik akan datang," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2026 anjuran Persatuan Chung Hua Debak di Dewan Perpaduan Debak pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, beliau mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat untuk mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di daerah Debak.
Ujarnya, pembinaan jalan raya dari Suri ke Tuie telah memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi setempat di mana memudahkan pergerakan masyarakat dari kawasan Spaoh dan Pusa ke Debak berbanding menggunakan Sungai Rimbas yang mengambil masa satu jam.
"Pembukaan pasar baharu di Debak turut merancakkan lagi sektor perniagaan dan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga dengan beberapa premis perniagaan terkenal juga dijangka membuka cawangan di daerah ini dalam masa terdekat," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Datuk Mohammad Razi turut menyempurnakan penyerahan cek sumbangan berjumlah RM60,000 kepada Persatuan Chung Hua Debak (RM30,000), Lembaga Pengurus Sekolah SJKC Chung Hua Debak (RM20,000) dan Debak Chinese Charitable Trust Board (RM10,000).
Beliau turut menyerahkan replika cek bagi Projek Pembinaan Semula Bangunan SJKC Chung Hua Debak di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak Tahun 2024.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu yang menyalurkan bantuan dana kawasan Parlimen Betong Tahun 2026 berjumlah RM25,000 kepada Persatuan Chung Hua Debak (RM10,000), Lembaga Pengurus Sekolah SJKC Chung Hua Debak (RM10,000) serta kepada Debak Chinese Charitable Trust Board (RM5,000) bagi menyokong usaha pembangunan dan kebajikan masyarakat setempat. -EDISI UKAS