DBNA Perkasa Komuniti Melalui Bengkel Penyukatan & Dokumentasi Tanah NCR
LUNDU: Kesedaran terhadap kepentingan pemilikan dan dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus diperkasa dalam kalangan masyarakat Bidayuh apabila 80 peserta menyertai Program Taklimat dan Bengkel Penyukatan serta Dokumentasi Tanah anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Lundu di Dewan DBNA Kampung Serayan Hulu.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang itu bertujuan memberi pendedahan serta latihan praktikal kepada komuniti tempatan mengenai proses penyukatan dan pendokumentasian tanah adat secara lebih sistematik dan tersusun.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak DBNA atas inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan kefahaman komuniti, malah memperkukuh keupayaan mereka mengurus hal berkaitan sempadan dan pemilikan tanah.
Menurut beliau, isu pemilikan serta penetapan sempadan tanah amat penting dalam menjamin kestabilan ekonomi komuniti dan memastikan kelangsungan hak milik untuk generasi akan datang.
“Inisiatif DBNA ini membolehkan proses penyukatan dan dokumentasi tanah dilaksanakan secara lebih tersusun. Ia membantu mengenal pasti sempadan tanah serta menjadi langkah awal memudahkan pengukuran rasmi oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi tujuan pengeluaran Surat Pemilikan Tanah pada masa hadapan,” katanya dalam majlis tersebut pada Sabtu.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan komuniti yang dilaksanakan DBNA sebelum ini telah menunjukkan keberkesanan apabila beberapa kawasan penempatan Bidayuh di Bau, Padawan dan Serian berjaya menjalani proses penyukatan sebelum menerima Surat Pemilikan Tanah.
Jelasnya lagi, latihan yang diberikan kepada ahli DBNA sendiri dalam bidang penyukatan dan dokumentasi tanah bukan sahaja mempercepatkan proses penandaan sempadan, malah meningkatkan kemahiran teknikal komuniti setempat.
“Inisiatif ini diyakini mampu mengurangkan pertindihan tuntutan tanah, mengelakkan pertikaian sempadan serta memperkukuh bukti dokumentasi pemilikan tanah adat bagi sebarang urusan berkaitan pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir Presiden DBNA, Datuk Ik Pahon Joyik, Pengerusi DBNA Cawangan Lundu, Suimi Kinseng serta Pemanca Allen Manium Enggang bersama barisan penghulu dan ketua kaum masyarakat Bidayuh. -EDISI UKAS