Julung Kali Dianjurkan, Bazar Ramadan Bukit Berangan Tarik Tumpuan
KOTA SAMARAHAN: Deretan gerai yang dipenuhi aroma juadah tradisional, wajah peniaga tempatan yang penuh harapan serta kehadiran penduduk yang tidak sabar mendapatkan juadah berbuka puasa mewarnai pembukaan sulung Bazar Ramadan Bukit Berangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.
Bazar yang julung kali dianjurkan itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menerusi acara simbolik memotong riben sebelum beliau meluangkan masa meninjau setiap gerai jualan yang mengambil bahagian pada Sabtu.
Seramai 44 peniaga tempatan menyertai bazar berkenaan dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman untuk berbuka puasa, sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai tumpuan utama penduduk sekitar Kampung Bukit Berangan dan kawasan berhampiran sepanjang Ramadan.
Menurut Datuk Hamzah, penganjuran bazar tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan juadah berbuka, malah menjadi platform penting bagi usahawan kecil dan peniaga mikro menjana pendapatan tambahan.
Beliau berharap Bazar Ramadan Bukit Berangan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang berupaya memperkukuh ekonomi komuniti, di samping merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan masyarakat di kawasan DUN Stakan.
Penganjuran bazar itu turut mencerminkan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, ketua kaum serta pengurusan bazar dalam memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pengunjung sentiasa terpelihara.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Daily Joseph, Ahli Majlis MPKS, Kr Dato Sim Kiang Chiok dan Kaunselor Prof. Madya Dr. Sopia Bujang. -EDISI UKAS