Youth Unplugged 3.0 2026 Perkasa Pembangunan Belia Betong
BETONG: Program Youth Unplugged 3.0 merupakan langkah proaktif bagi menyediakan belia untuk menempuh alam universiti atau pekerjaan agar dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata program ini juga bertujuan mengasah kemahiran insaniah dalam kalangan peserta melalui penglibatan dalam aktiviti berkumpulan seterusnya menggalakkan para peserta mengamalkan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Menurut beliau, program anjuran Kelab Belia Perkasa Layar dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak ini juga bertujuan untuk mengasah kemahiran insaniah dalam kalangan peserta melalui penglibatan dalam aktiviti berkumpulan lalu menggalakkan para peserta mengamalkan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Melalui program ini juga, para peserta katanya diberikan pendedahan untuk menangani cabaran beban digital, memupuk kesedaran di antara belia, mewujudkan persekitaran yang mampan serta menjadi platform sokongan pemerkasaan kepada golongan belia untuk berkembang maju.
Datuk Gerald berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program 'Youth Unplugged 3.0 2026' di Dewan Gemilang, MRSM Betong pada Ahad.
Beliau turut menyeru pelajar tingkatan 5 MRSM Betong untuk membuat perancangan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang.
“Bayangkan SPM itu seperti mendaki bukit yang tinggi. Dari sekarang kamu kena susun strategi untuk sampai ke puncak,” ujarnya sambil menyuntik semangat kepada pelajar.
Beliau juga mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada usaha mereka sendiri sebaliknya peranan ibu bapa dan pihak sekolah turut menjadi elemen penting dalam mengapai kecemerlangan.
Menyentuh mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak, beliau menyeru pelajar agar bijak memilih 64 kursus yang ditawarkan di institusi milik kerajaan negeri.
Dalam hal ini, beliau menggalakkan pelajar mempertimbangkan bidang-bidang strategik seperti veterinar, aeroangkasa, keselamatan siber, teknologi makanan dan semikonduktor.
Beliau turut menyentuh inisiatif penubuhan Sarawak Semiconductor yang menjalankan penyelidikan di Cardiff menggunakan teknologi Gallium Nitride bagi menghasilkan cip tahan haba, selari dengan perkembangan industri digital global.
Selain itu, beliau turut menyentuh usaha untuk memperkasakan pendidikan di Betong dengan menambahkan lagi pusat pendidikan yang sedia ada selain Kolej Vokasional, MRSM Betong dan SMK Datuk Patinggi Kedit dengan pembinaan kampus tetap CENTEXS dan perancangan jangka masa panjang iaitu pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Betong.
Program berlangsung dari 27 Februari sehingga 1 Mac 2026 melibatkan seramai 225 orang pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 yang dijalankan sepenuhnya di MRSM Betong.
Datuk Gerald turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Belia Perkasa Layar kerana telah melaksanakan program yang amat bermanfaat ini khususnya kepada belia di Betong. - EDISI UKAS