Pendekatan Turun Padang Perkukuh Penambahbaikan Perkhidmatan Kesihatan
DALAT: Pendekatan turun padang ke fasiliti kesihatan membolehkan pihak berkaitan meneliti keadaan sebenar di lapangan sekali gus merangka langkah penambahbaikan yang lebih berkesan.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, lawatan sedemikian memberi peluang kepada pihak kementerian untuk melihat sendiri situasi di fasiliti kesihatan selain memahami keperluan petugas serta komuniti setempat.
“Pendekatan bersemuka ini membolehkan penambahbaikan dilakukan secara lebih menyeluruh dan bersasar demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Kuala Oya, di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Hanifah, penambahbaikan berterusan dari segi kemudahan, tenaga kerja serta sokongan logistik amat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh dapat dinikmati oleh penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Tambahnya, pihak kementerian komited untuk terus memperkukuh sistem kesihatan negara khususnya di kawasan luar bandar selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan.
Untuk rekod, Klinik Kesihatan Kuala Oya kini menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 5,397 penduduk melibatkan sembilan buah kampung di kawasan sekitarnya.
Selesai lawatan di Klinik Kesihatan Kuala Oya, Dato Hanifah turut mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Kampung Medong.
Dalam kedua-dua lawatan berkenaan, beliau telah mendengar taklimat menyeluruh berhubung aspek perkhidmatan, penjawatan, kemudahan sedia ada serta kekangan yang memerlukan perhatian segera.
Turur hadir amsemasa lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Pengurusan) Banges Munga dan Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Muhammad Najib Hasan @ Ahmad.-EDISI UKAS