Bilik Digital Perkukuh Kualiti Pembelajaran di Sekolah
SARIKEI: Penubuhan bilik digital di sekolah dilihat sebagai langkah signifikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran seiring perkembangan era digital dan teknologi kecerdasan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata kemudahan tersebut memberi pendedahan awal kepada murid terhadap penggunaan teknologi serta penguasaan kemahiran digital yang semakin penting pada masa kini.
“Dengan adanya kemudahan ini, murid-murid dapat didedahkan lebih awal kepada teknologi serta menguasai kemahiran digital yang amat penting bagi meningkatkan daya saing mereka pada masa hadapan.
“Ia sekali gus menjadi asas kukuh untuk melanjutkan pelajaran dan memasuki sektor pekerjaan,” katanya semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Terbuka Sekolah serta Perasmian Bilik Digital di SJK Su Tak, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Dalam pada itu, Dato Sri Huang turut menyatakan keyakinan bahawa komitmen para guru serta sokongan ibu bapa akan terus membantu murid berkembang dalam persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berdaya saing.
Menurut beliau, SJK Su Tak yang terletak di kawasan Sungai Pasi berhampiran jalan utama Sarikei–Bintangor turut menerima impak positif susulan pembinaan jalan penghubung dari Sungai Pasi ke Tanjung Manis pada tahun lalu.
Katanya, kemudahan infrastruktur tersebut bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, malah merangsang pembangunan setempat serta menarik pertambahan penduduk ke kawasan Sarikei.
Menurut beliau, pertambahan populasi setempat diyakini akan turut meningkatkan jumlah kemasukan murid ke sekolah SJK Su Tak sekali gus memperkukuh potensi pembangunan pendidikan di kawasan itu.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok iru turut merakamkan penghargaan atas kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang terus memastikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Sarawak.
Beliau berkata perpaduan rakyat pelbagai kaum menjadi asas penting dalam memacu pembangunan Sarikei dan Maradong ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Dalam majlis sama, Dato’ Sri Huang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada SJK Su Ming sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Sarikei.-EDISI UKAS