Persatuan Melanau Sibu Rai 63 Anak Yatim Dalam Majlis Berbuka Puasa
SIBU: Semangat berkongsi rezeki dan menyantuni golongan memerlukan terus mewarnai Ramadan apabila Persatuan Melanau Sibu (PMS) meraikan seramai 63 anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga PERYATIM Sibu di Larizwa Riz’s Grand Hall di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab berkata, penganjuran majlis seumpama itu menjadi platform penting untuk menyantuni golongan memerlukan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, kehadiran anak-anak yatim pada majlis tersebut juga menjadi peringatan bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk terus membantu dan memberi perhatian kepada golongan berkenaan.
“Saya menyeru supaya lebih banyak persatuan lain di luar sana sentiasa membuka pintu hati dan menghulurkan tangan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Saya juga berharap agar program kemasyarakatan seumpama ini terus dijadikan agenda tetap persatuan pada masa akan datang sebagai manifestasi tanggungjawab sosial dan nilai ihsan sesama insan,” katanya semasa berucap dalam profram berkenaan.
Dalam pada itu, Dato Ir. Yusuf berkata kekuatan sesebuah persatuan tidak hanya bergantung pada nama semata-mata, sebaliknya terletak pada semangat dan komitmen ahli-ahlinya.
Beliau turut menyifatkan PMS sebagai sebuah kapal besar yang memerlukan sokongan padu setiap ahli sebagai anak kapal bagi memastikan perjalanan persatuan terus lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Jika kita bersatu hati, tiada ombak yang terlalu besar untuk kita lalui. Semoga semangat Ramadan ini membakar lagi azam kita untuk menjadikan persatuan ini lebih relevan dan disegani,” ujarnya.
Dalam majlis itu, anak yatim yang diraikan menerima sumbangan duit raya yang disumbangkan oleh beliau.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi PMS Anis Ili, Pengerusi Persatuan Melanau Sarikei Yunus Julai, Pengerusi Persatuan Melanau Matu Daro Dayang Rohayah Awang Yahood dan Pengerusi Pengelola bersama Majlis Berbuka Puasa PMS Bersama Warga PERYATIM Sibu, Fatimah Salem dan Norlini Ramli.-EDISI UKAS