Projek Pembangunan BDDA Kini Memasuki Fasa Kedua, Fokus Sosioekonomi
BETONG: Projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) kini memasuki Fasa Kedua yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi, selepas Fasa Pertama sebelum ini memfokuskan kepada pelaksanaan projek infrastruktur asas.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, projek fizikal seperti pembinaan dan naik taraf jalan menjadi keutamaan dalam Fasa Pertama kerana ia merupakan asas penting kepada pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Namun jelasnya, setiap projek perlu melalui proses teratur termasuk pelantikan konsultan, penyediaan lukisan teknikal, kajian tapak serta proses tender yang kadangkala mengambil masa berbulan-bulan sebelum kerja fizikal dapat dimulakan.
“Sebahagian projek telah dirancang sejak 2020 dan kini berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan. Kita juga berdepan kekangan jumlah jurutera dan pegawai teknikal di agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), terutama apabila melibatkan banyak projek serentak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Merarau Gerempung Tuai Rumah (GTR) N.36 Layar di Parish Hall, Gereja St Augustine, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Datuk Gerald menggesa para ketua masyarakat seperti pemanca, penghulu dan tuai rumah supaya memainkan peranan aktif menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat bagi mengelakkan salah faham.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu menjelaskan, sesi dialog dan rundingan menjadi kunci agar rakyat memahami proses dalam usaha bergerak sebagai satu pasukan namun perkara mendesak akan terus diangkat menjadi keutamaan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM35,000 kepada GTR N.36 Layar bagi memperkasakan aktiviti persatuan tersebut.
Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu turut mengumumkan geran sebanyak RM15,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti persatuan itu sepanjang tahun ini.
Untuk makluman, Program GTR N.36 Layar diadakan bersempena Mesyuarat Agung Sesi 2026/2027 bagi memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu untuk tempoh berkenaan. -EDISI UKAS