Sambutan Chap Goh Meh Simbol Perkukuh Perpaduan Dan Pembangunan Selangau
SELANGAU: Sambutan Tahun Baharu Cina (Chap Goh Meh) peringkat Daerah Selangau 2026 disifatkan sebagai simbol harapan dan permulaan baharu dalam usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta memacu pembangunan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata perayaan tersebut bukan sekadar acara kebudayaan sebaliknya mencerminkan kekuatan masyarakat pelbagai kaum yang hidup di bawah satu komuniti yang sama serta komited mempertahankan keharmonian bersama.
Menurut beliau, suasana tanglung yang bergantungan dan bercahaya pada malam sambutan membawa makna mendalam kepada rakyat Selangau sebagai lambang cahaya harapan serta masa depan yang dibina secara kolektif.
“Malam ini kita bukan sekadar meraikan Chap Goh Meh. Kita meraikan harapan, kita meraikan cahaya dan kita meraikan masa depan yang kita bina bersama.
“Cahaya tanglung tidak terhasil daripada satu api yang besar, tetapi daripada banyak cahaya kecil yang menyala serentak, inilah gambaran perpaduan masyarakat Selangau dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Chap Goh Meh peringkat Daerah Selangau 2026 yang diadakan di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ir Christopher turut menegaskan kekuatan Sarawak terletak pada kemampuan negeri ini menentukan hala tuju sendiri di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang memberi fokus kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Sarawak hari ini tidak lagi menunggu masa depan, kita mencipta masa depan, mengurus sumber sendiri, membangunkan ekonomi sendiri dan menentukan hala tuju sendiri,” ujarnya.
Mengulas pembangunan di kawasan Selangau, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk penambahbaikan jalan luar bandar, perluasan bekalan air dan elektrik, projek sukan serta kemudahan awam selain sokongan berterusan kepada peniaga dan usahawan kecil.
Katanya, semua usaha tersebut bukan sekadar retorik politik, sebaliknya hasil kestabilan dan perpaduan yang dinikmati rakyat selama ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengiktiraf peranan Dewan Perniagaan Cina Selangau dan Stapang dalam merancakkan ekonomi tempatan melalui aktiviti perniagaan serta keusahawanan yang membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Beliau juga menegaskan bahawa Chap Goh Meh bukanlah penutup kepada sambutan perayaan, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk terus memperkukuh perpaduan serta memastikan Selangau bergerak maju seiring pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS