Sumbangan Duit Raya Cerminan Keprihatinan Masyarakat
SIBU: Inisiatif Persatuan Melanau Sibu (PMS) dengan menyumbang duit raya kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadan mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan golongan memerlukan.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab memuji inisiatif PMS yang terus memainkan peranan sebagai wadah kebajikan komuniti melalui penganjuran Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga PERYATIM Sibu yang menghimpunkan lebih 400 ahli serta tetamu di Larizwa Riz’s Grand Hall, Sungai Merah pada Sabtu.
Menurut beliau, program menyantuni golongan memerlukan seperti itu wajar diteruskan kerana ia menjadi cerminan nilai ihsan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
“Saya berharap lebih banyak persatuan membuka pintu hati dan menghulurkan tangan membantu golongan yang memerlukan. Program kemasyarakatan seperti ini wajar dijadikan agenda tetap sebagai manifestasi tanggungjawab sosial.
“Kekuatan sesebuah persatuan bukan hanya terletak pada nama atau sejarahnya, tetapi pada kesatuan dan keikhlasan ahlinya dalam berkhidmat kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa 2026 Persatuan Melanau Sibu Bersama Warga PERYATIM Sibu di sini.
Pada majlis tersebut, seramai 63 anak yatim yang diraikan menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Dato Ir Yusuf.
Beliau turut mengibaratkan PMS sebagai sebuah kapal besar yang memerlukan komitmen setiap ahli bagi memastikan hala tuju persatuan kekal jelas serta pelayarannya terus lancar.
“Jika kita bersatu hati, tiada ombak yang terlalu besar untuk kita lalui. Semoga semangat Ramadan ini membakar lagi azam kita untuk menjadikan persatuan ini lebih relevan dan disegani,” ujarnya.
Penganjuran majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara persatuan Melanau di wilayah tengah Sarawak dalam usaha memperluas program kebajikan serta pembangunan komuniti pada masa hadapan.-EDISI UKAS