Gereja St. Stephen Pantu Berwajah Baharu, Simbol Komitmen Kerajaan Sarawak Terhadap Kebajikan Rakyat
PANTU: Rumah ibadat Gereja St Stephen kini tampil berwajah baharu selepas bangunan lama yang uzur dirobohkan dan dibina semula demi keselesaan serta keselamatan para penganutnya.
Pembinaan gereja baharu ini direalisasikan menerusi bantuan kewangan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan serta keharmonian masyarakat berbilang agama di negeri ini.
Bangunan baharu dua tingkat tersebut dijangka mampu menampung sehingga 500 orang pada satu-satu masa.
Sementara itu, tingkat bawah bangunan turut berdungsi sebagai dewan gereja bagi penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, manakala ruang utama di tingkat atas menempatkan tempat ibadat yang lebih luas dan selesa.
Projek pembinaan ini diselaraskan oleh pihak gereja dengan kerjasama komuniti setempat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta menepati keperluan umat setempat.
Penduduk di Daerah Pantu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas kelulusan bantuan tersebut.
Dengan siapnya bangunan baharu ini, Gereja St Stephen Pantu dijangka terus menjadi pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang penting bagi komuniti setempat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Pantu dan kawasan sekitarnya. -EDISI UKAS