Pengiktirafan Nasional Dan Antarabangsa Letakkan Sibu Di Landasan Bandar Pintar Dan Mampan
SIBU: Pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa yang diterima oleh Sibu sepanjang tahun lalu meletakkan bandar ini di landasan tepat ke arah pembangunan bandar pintar serta mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), kerajaan serta komuniti tempatan dalam memacu transformasi bandar secara bersepadu.
Menurut beliau, antara kejayaan yang dicapai termasuk Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak, pengiktirafan Bandar Pelancongan Bersih ASEAN serta Anugerah Tindakan Iklim Kebangsaan atas usaha menangani perubahan iklim.
“Sibu juga mencapai status Bandar Mampan di bawah rangkaian penunjuk nasional, melancarkan sistem parkir pintar baharu serta meletakkan dirinya sebagai Perintis Awal Bandar Pintar sebagai sebahagian daripada usaha berperingkat ke arah sebuah bandar yang lebih digital, cekap dan saling berhubung.
“Semua ini bukan sekadar anugerah atau gelaran. Ia merupakan bukti bahawa apabila Sibu bekerjasama, pihak majlis, komuniti dan kerajaan berganding bahu, kita sememangnya mampu mencapai kejayaan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MPS 2026 yang berlangsung di Hotel Kingwood pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan pencapaian berkenaan dengan semangat Tahun Kuda Api yang melambangkan tenaga, ketekunan serta kemajuan, yang menurutnya terserlah dalam usaha pihak majlis, pemimpin komuniti dan penduduk Sibu.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, sektor pelancongan akan menjadi antara fokus utama bandar ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Sibu mesti bersedia menyambut kedatangan pelawat dari seluruh dunia. Daripada Pasar Sentral Sibu yang ikonik hinggalah kepada warisan budaya yang kaya, bandar ini mempunyai pelbagai tarikan yang mampu diketengahkan.
“Marilah kita bersama-sama menunjukkan mengapa Sibu berbaloi untuk dikunjungi,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan budaya melalui penganjuran acara seperti Festival Kebudayaan Borneo (BCF) yang disifatkan sebagai cerminan kepelbagaian masyarakat serta kelangsungan tradisi yang terus berkembang.
Pada masa sama, beliau mengulangi komitmen untuk menjadikan Sibu sebuah bandar yang lebih berdaya huni dan mampan pada masa hadapan dengan penekanan terhadap sungai yang lebih bersih, ruang hijau yang lebih luas, kejiranan yang lebih selamat serta masa depan yang boleh diwarisi generasi akan datang dengan penuh kebanggaan.-EDISI UKAS