Datuk Dr Annuar Santuni Penghuni KKJTHB Sibu, Teruskan Tradisi Sumbangan Raya
SIBU: Kebajikan anak-anak yatim di Kompleks Kebajikan Juma'ani Tuanku Haji Bujang (KKJTHB) Sibu terus mendapat perhatian apabila Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka menganjurkan Program Penyampaian Sumbangan Raya, pada Ahad.
Program tahunan ini merupakan aktiviti tetap yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat N.55 Nangka sejak Datuk Dr Annuar Rapa’ee dilantik menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Menurut Datuk Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, penganjuran program tersebut bertujuan untuk memupuk rasa muhibbah, persefahaman serta menyemai semangat kekitaan antara pemimpin dan penghuni KKJTHB, lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan.
"Dengan adanya sumbangan ini, ia diharap dapat meringankan beban anak-anak yatim ini dalam membuat persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang," jelas beliau.
Selain menyampaikan sumbangan, Datuk Dr Annuar turut menggunakan kesempatan tersebut untuk meninjau sendiri perkembangan semasa serta keperluan fizikal di pusat KKJTHB bagi memastikan keselesaan para penghuni.
Sementara itu, para penghuni KKJTHB melahirkan rasa terharu dan amat berterima kasih kepada Datuk Dr Annuar atas sumbangan serta keprihatinan berterusan yang diberikan kepada mereka selama ini.
Sumbangan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada anak-anak yatim dalam menantikan ketibaan hari lebaran. - EDISI UKAS