KCFC Tawan Kangar, Penalti Lewat ‘Pak Ngah’ Cakar Imigresen FC
KANGAR: Skuad Kuching City FC (KCFC) kembali membuka harapan untuk memburu slot tangga kedua dalam kempen Liga Super selepas menundukkan Imigresen FC 1-0 dalam aksi berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, malam Ahad.
Jaringan tunggal perlawanan hadir pada minit ke-85 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh mesin golnya, Ronald Ngah Wanja, sekali gus memadam impian tuan rumah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di hadapan penyokong sendiri.
Babak pertama menyaksikan skuad ‘The City Boys’ berdepan tentangan sengit apabila Imigresen FC mempamerkan corak permainan tersusun dan berdisiplin.
Barisan pertahanan tuan rumah bertindak kompak, menutup ruang dan mematahkan beberapa percubaan berbahaya pelawat.
Dalam tempoh sama, Imigresen FC turut mencipta beberapa peluang tepat ke arah pintu gol, namun ketangkasan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli menjadi benteng terakhir yang kebal.
Keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, intensiti perlawanan meningkat dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan asakan.
Detik penentuan akhirnya tiba apabila pengadil, Mohd Afdzal, menghadiahkan sepakan penalti kepada KCFC selepas bola dikesan terkena tangan ketua pasukan Imigresen, Abdul Halim Saari di dalam kotak penalti.
‘Pak Ngah’ tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Zarif Irfan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.
KCFC kini menduduki tangga keempat dalam liga dengan kutipan 34 mata dari 17 perlawanan. -EDISI UKAS