Sambutan Tahun Baru Cina Perkukuh Perpaduan, Pembangunan Komuniti DUN Stakan
KOTA SAMARAHAN: Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta merancakkan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.
Perkara tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 di Dewan Persatuan Masyarakat Jalan Muara Tuang, di sini, pada Ahad yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana muhibah dan harmoni.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk serta pemimpin masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Masyarakat Muara Tuang atas komitmen berterusan menganjurkan program kemasyarakatan yang memperkukuh silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan di peringkat akar umbi, beliau mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 kepada penghulu dan setiap kapitan bagi pelaksanaan projek kecil di kawasan masing-masing.
Selain itu, sebanyak RM20,000 turut disumbangkan kepada Persatuan Masyarakat Muara Tuang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program komuniti sepanjang tahun.
Daam majlis tersebut, pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan telah dipersembahkan sepanjang majlis, mencerminkan kekayaan tradisi masyarakat Tionghua di samping menyemarakkan lagi suasana perayaan dalam semangat muhibah dan kebersamaan.-EDISI UKAS