Jelajah Ramadan N8 Satok Santuni Asnaf, Perkasa Aktiviti Surau
KUCHING: Seramai 15 asnaf dari Ranting Muhibbah menerima sumbangan menerusi Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan N8 Satok 2026/1447H yang diadakan di Surau Darul Qarar, Muhibbah, di sini, pada Ahad.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, sebagai usaha berterusan kerajaan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif yang menitikberatkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, bulan Ramadan merupakan platform terbaik untuk memperkukuh nilai ihsan, kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan asnaf dan berpendapatan rendah, agar mereka tidak terpinggir dan dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih sempurna,” katanya.
Selain sumbangan kepada asnaf, bantuan turut disalurkan kepada Pengerusi Surau Darul Qarar Khalil Morshidi bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan.
Turut disampaikan ialah rehal al-Quran bagi memudahkan para jemaah membaca dan mengimarahkan surau.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Cawangan Satok, Samat Gany.–EDISI UKAS