Penyelarasan Rapi Pastikan Pelancaran SKAS Bahagian Kapit Lancar
KAPIT: Mesyuarat Penyelarasan Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Peringkat Bahagian Kapit telah diadakan di Kompleks Kerajaan Negeri Kapit bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, teratur dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pemangku Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli berkata, kepentingan kerjasama bersepadu antara semua pihak terlibat bagi memastikan objektif pelaksanaan SKAS dapat direalisasikan dengan berkesan.
"Penyelarasan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terutama melibatkan urusan teknikal, logistik serta hebahan maklumat kepada penerima," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut pada Isnin.
Dalam pada itu, mesyuarat turut mencadangkan agar daerah Kapit dan Bukit Mabong digabungkan dalam satu majlis pelancaran bagi memastikan penyelarasan yang lebih efektif serta memudahkan pengurusan.
Selain itu, jawatankuasa kecil akan ditubuhkan di peringkat daerah bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan program secara lebih terperinci.
Untuk rekod, Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Sarawak akan diadakan di Kuching pada 7 Mac ini dengan bantuan berkenaan akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 10 Mac menerusi platform SPay Global.
Sehubungan itu, para penerima diingatkan supaya memastikan aplikasi SPay Global masing-masing berada dalam keadaan aktif dan boleh diakses bagi mengesahkan kemasukan bantuan yang disalurkan. -EDISI UKAS