Projek Operasi Feri Nanga Tulie Perkukuh Ketersambungan Penduduk
KAPIT: Projek Operasi Feri Nanga Tulie (Batang Rajang) bakal memperkukuhkan ketersambungan penduduk di kawasan Nanga Tulie serta meningkatkan mobiliti merentasi Batang Rajang.
Projek yang akan menelan kos sebanyak RM23,499,634.97 juga akan memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat.
Sehubungan itu, Mesyuarat Penyelarasan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Operasi Feri Nanga Tulie telah diadakan di Kompleks Kerajaan Negeri Kapit pada Isnin bagi membincangkan pelaksanaan majlis tersebut yang dijadualkan berlangsung di Flat Ground Ramp A, Kapit pada 6 Mac ini.
Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Pegawai Daerah Kapit Tuan Thomas Geoffrey Kandawang serta ketua-ketua dan wakil jabatan berkaitan.
Perbincangan memfokuskan kepada penyelarasan aspek teknikal, logistik, keselamatan dan atur cara majlis bagi memastikan kelancaran program serta kehadiran tetamu kenamaan berjalan teratur.
Difahamkan, majlis pecah tanah tersebut bakal dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Untuk makluman, Projek Operasi Feri Nanga Tulie (Batang Rajang) melibatkan cadangan pengoperasian sebuah feri berkapasiti 24 kenderaan di penyeberangan Nanga Tulie yang merentasi Batang Rajang di Kapit yang turut merangkumi pembinaan dan penyiapan kemudahan pendaratan feri secara Reka dan Bina serta Dasar Rundingan.
Projek ini berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak sebagai agensi pelaksana. -EDISI UKAS