ADUN Simunjan Dekati Penduduk Menerusi Majlis Berbuka Puasa Dan Agihan Sumbangan Ramadan
SADONG JAYA: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris ke Majlis Berbuka Puasa di Surau Darul Iman, Kampung Rangkang terus mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh ukhuwah serta menyantuni kebajikan penduduk setempat sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut Awla, beliau menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas jemputan tersebut, sambil menegaskan bahawa majlis seumpama ini merupakan platform penting dalam usaha mendekati rakyat serta memahami keperluan komuniti secara lebih dekat.
“Majlis seperti ini amat bermakna kerana ia memberi ruang kepada kita untuk bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk, di samping mengeratkan hubungan silaturahim yang telah sedia terjalin,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut pada Ahad.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan agihan sebanyak 25 set sumbangan bakul makanan daripada Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Samarahan kepada golongan asnaf dari Kampung Rangkang dan Kampung Tanjung Kelaso.
Beliau turut memaklumkan bahawa penyelarasan jumlah agihan dibuat dengan mengambil kira permintaan tinggi daripada kawasan lain seperti Zon Sungai Apin dan Zon Simunjan Proper yang masih belum menerima sumbangan berkenaan.
“Kita akan memastikan agihan dilaksanakan secara adil dan tersusun supaya kawasan-kawasan lain yang belum menerima sumbangan juga akan mendapat manfaat yang sama selepas ini,” tambahnya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian tazkirah Ramadan oleh Ustaz Abdullah Sam Yusup yang mengingatkan para hadirin tentang kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan sebagai medan meningkatkan keimanan, memperbanyakkan amal ibadah serta mengeratkan hubungan sesama insan.
Turut hadir ialah Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen, Ketua Kaum Kampung Rangkang Sharkawi Razali, Ketua Kaum Kampung Tanjung Kelaso Idris Dawi serta Pengerusi Surau Darul Iman Kampung Rangkang Sulaiman Dullah. -EDISI UKAS