DBKU Santuni 16 Anak Yatim Piatu dan Anak Istimewa, Ramadan Diserikan Bersama Premier Sarawak
KUCHING: Suasana penuh keinsafan dan kasih sayang menyelubungi Majlis Berbuka Puasa dan Solat Berjemaah bersama Premier Sarawak apabila Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyantuni 16 anak yatim piatu serta anak-anak istimewa dari Pusat Kebajikan Jumaani di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Isnin.
Senyuman dan keterujaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yang menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebaik selesai berbuka puasa.
Sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan material, malah menjadi simbol keprihatinan dan dokongan berterusan kerajaan negeri terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam keberkatan bulan Ramadan.
Kehadiran Premier Sarawak pada majlis itu turut mencerminkan komitmen kepimpinan negeri dalam mendekati rakyat serta memperkukuh nilai kebajikan, empati dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang lapisan.
Terdahulu, beliau bersama dif kenamaan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Majlis kemudian diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih sebelum diakhiri dengan jamuan moreh dalam suasana penuh ukhuwah.
Turut hadir ialah anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, Ketua-ketua jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS