UKAS Perkukuh Semangat Kebersamaan Melalui Persediaan Program Rakan UKAS: Berambeh Sungkei di Balai Ringin
BALAI RINGIN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengukuhkan semangat kebersamaan menerusi penganjuran gotong-royong sebagai persediaan Program Rakan UKAS: Berambeh Sungkei di Dewan Sri Hikmah, Kampung Ensebang Jaya, pada Rabu.
Program tersebut melibatkan warga kerja UKAS bersama penduduk setempat yang dipimpin Ketua Kampung, Jamilah Ahmad, bagi memastikan kelancaran majlis.
Antara skop kerja dilaksanakan termasuk membersihkan persekitaran dewan, menyusun atur peralatan serta menambah baik kemudahan sedia ada.
Persediaan itu bukan sahaja bagi memastikan kelancaran program, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UKAS dan komuniti Kampung Ensebang Jaya.
Program Rakan UKAS: Berambeh Sungkei dijadual bermula jam 9 pagi dengan aktiviti Sungkei, moreh serta gotong-royong memasak bubur lambuk pedas, diikuti pembungkusan sumbangan.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan agihan bubur lambuk di sekitar Pekan Balai Ringin dan Kampung Ensebang Jaya sebelum Majlis Sungkei serta penyampaian sumbangan kepada Ketua Isi Rumah (KIR).
Program akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.-EDISI UKAS