Sambutan Meriah Chap Goh Mei di Miri Cerminkan Perpaduan Sarawak
MIRI: Sambutan Chap Goh Mei yang berlangsung meriah di Tokong Tua Pek Kong Miri pada Isnin mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum serta dasar kerajaan yang sentiasa mengamalkan keadilan terhadap semua agama di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata perkembangan pesat tokong bersejarah tersebut membuktikan sokongan berterusan kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian agama dan budaya di negeri ini.
Menurut beliau, Tokong Tua Pek Kong Miri kini jauh lebih tersusun dan lengkap dari segi kemudahan berbanding sebelum ini, selain jumlah kehadiran pengunjung yang semakin meningkat setiap tahun, khususnya ketika sambutan perayaan seperti Chap Goh Mei.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan adil kepada semua agama. Selain hal ehwal Islam, kerajaan turut menyediakan peruntukan kepada penganut agama lain termasuk Buddha, Kristian serta rumah ibadat masyarakat Cina dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Chap Goh Mei yang dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri di Tokong Tua Pek Kong Miri pada Rabu.
Dato Sri Lee turut memaklumkan bahawa Tokong Tua Pek Kong Miri telah menerima lebih RM2 juta dalam tempoh lima tahun melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan kemudahan untuk keselesaan para penganut serta pengunjung.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak melibatkan empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri iaitu Curtin University Malaysia, Swinburne University of Technology Sarawak Campus, University of Technology Sarawak dan i-CATS University College bagi memastikan faktor kewangan tidak menjadi halangan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian serta melahirkan lebih ramai tenaga profesional, jurutera dan tenaga mahir tempatan bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Menjelas lanjut, beliau berkata perancangan pembangunan di Miri termasuk projek pelabuhan laut dalam di Delta Kuala Baram serta pembinaan jalan baharu yang bakal meningkatkan kesalinghubungan dari Miri ke Mulu sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Turut hadir Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri, Temenggong Yong Vui Seng serta pemimpin masyarakat Cina Miri.-EDISI UKAS