Program Jom@Coop Siri Platinum Perkasa Pembangunan Koperasi di Miri
MIRI: Program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak Cawangan Miri memperkukuh kefahaman komuniti koperasi selain memperkasakan pembangunan ekonomi setempat melalui penglibatan aktif koperator dan agensi berkaitan.
Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Azli Yusof berkata koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, sebaliknya merupakan wadah ekonomi rakyat yang berteraskan prinsip keadilan, kebersamaan dan perkongsian manfaat.
Menurut beliau, dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks, pendidikan serta latihan merupakan elemen penting bagi memastikan koperasi kekal relevan dan berdaya saing.
“Sehubungan itu, koperasi di Sarawak disaran memanfaatkan peluang pembiayaan, geran serta program latihan yang disediakan kerajaan dan IKMa bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Ke Arah Memperkasa Koperasi: Jom@Coop Siri Platinum sempena Sambutan 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini pada Selasa.
Katanya, koperasi di Sarawak berpotensi berkembang lebih jauh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya terus memperkukuh profesionalisme pengurusan serta mengadaptasi teknologi digital dalam operasi mereka.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus berkata penganjuran Jom@Coop merupakan antara aktiviti tahunan IKMa bagi memperkukuh kefahaman komuniti koperasi serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
Menurut beliau, tahun 2026 amat bermakna buat IKMa kerana genap 70 tahun penubuhannya sejak 13 November 1956 yang ketika itu dikenali sebagai Maktab Bekerja Sama-Sama Malaya.
“Bagi tahun ini, IKMa merancang sebanyak 650 program pembangunan modal insan meliputi pembangunan kepimpinan, pengukuhan perniagaan, bimbingan bersasar serta program belia dan komuniti koperasi,” jelasnya.
Tambah beliau, sehingga kini Sarawak mempunyai 1,204 koperasi berdaftar melibatkan lebih 319,000 anggota yang berperanan penting dalam menghimpunkan sumber serta menjana pendapatan komuniti.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Cawangan IKMa Zon Sarawak Cawangan Miri, Syarifah Rohaya Wan Idris.-EDISI UKAS