Projek RTP Khas Perkasa Infrastruktur Ibadah DUN Bukit Kota
LIMBANG: Infrastruktur ibadah di kawasan DUN Bukit Kota terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Khas yang memberi tumpuan kepada pembinaan baharu sebuah masjid dan empat surau demi keselesaan komuniti Islam setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek berkenaan menerima peruntukan khas daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berjumlah keseluruhan RM9 juta.
“Projek ini telah menerima peruntukan khas daripada YAB Premier dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9 juta, merangkumi pembinaan Masjid Kampung Limpaku Pinang bernilai RM6 juta serta empat buah surau iaitu Surau Kampung Limpaki, Surau Kampung Kuala Berawan, Surau Kampung Malagangai dan Surau Taman Sri Patiambun,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek RTP Khas surau, pada Selasa.
Menurut beliau, pembinaan Masjid Kampung Limpaku Pinang yang menelan kos RM6 juta bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan aktiviti keagamaan dan pembangunan sahsiah masyarakat Islam di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa isu berkaitan tapak projek sebelum ini telah berjaya diselesaikan, termasuk melibatkan urusan tanah dan pampasan.
“Bagi Surau Taman Sri Patiambun, kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM950,000 termasuk nilai pampasan tanah berikutan keadaan topografi kawasan yang terdedah kepada risiko takungan air.
“Manakala bagi Surau Kampung Malagangai, kos pembinaan dianggarkan mencecah RM800,000 termasuk pembayaran pampasan tanah sebanyak RM400,000,” jelasnya.
Tambah beliau, aspek sistem saliran di kawasan Taman Sri Patiambun turut diberi perhatian khusus bagi mengelakkan risiko banjir kilat yang boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.
Beliau berharap semua projek pembinaan masjid dan surau tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan agar masyarakat Islam setempat dapat menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa, teratur dan kondusif dalam masa terdekat.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai, Pegawai Tadbir Bahagian Pembangunan Fizikal (Projek) Pejabat Daerah Limbang, Mohamad Sobree Damit, wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang, Abdul Rahman Iqbal Adli, Penolong Kanan Pegawai Perancang Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Polycarp Pasha Peter, Penolong Pegawai Seni Bina JKR Limbang, Mohamad Shazral Abdul Rahim serta Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang, Hamzie Wahab.-EDISI UKAS