PETRONAS Dekati Rakyat Bekenu Menerusi Program Memacu Kehidupan Sempena Aidilfitri
BEKENU: Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menganjurkan Program Memacu Kehidupan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang diadakan di Arena Sibuti, Bekenu, pada Selasa.
Program anjuran PETRONAS Sarawak, Miri itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus dengan kehadiran kira-kira 150 masyarakat setempat.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Rosey menyeru agar budaya, adat dan tradisi terus diperkukuh demi menyatukan masyarakat dalam kepelbagaian kaum.
Beliau menzahirkan penghargaan kerana program tersebut bukan sahaja dihadiri masyarakat Islam, malah turut disertai ketua masyarakat kaum Cina dan Iban yang bersama-sama memeriahkan majlis.
“Daerah Subis dipilih sebagai lokasi agihan bakul barangan asas kepada penerima yang memerlukan, sekali gus memberi impak positif khususnya kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman. Terima kasih kepada pihak PETRONAS yang sentiasa komited membantu komuniti setempat,” katanya.
Menurut beliau lagi, walaupun PETRONAS dikenali sebagai syarikat minyak dan gas, namun komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui program kebajikan membuktikan keprihatinan berterusan dalam berkongsi rezeki bersama masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Carigali Sdn Bhd Aset Sarawak, Abang Ahmad Zaidi Abg Seruji menegaskan bahawa Program Memacu Kehidupan merupakan inisiatif berterusan syarikat itu dalam menyantuni komuniti setempat khususnya menjelang musim perayaan.
“Sempena Aidilfitri tahun ini, sebanyak 250 bakul makanan keperluan asas serta biskut perayaan diagihkan kepada keluarga dan individu yang memerlukan di sekitar Bekenu.
“Selain itu, lebih 200 bakul makanan telah diagihkan sebelum ini di Niah dan Bekenu sempena Tahun Baharu Cina,” jelas beliau.
Antara pengisian program termasuk simbolik penyerahan barangan keperluan asas kepada penerima serta majlis berbuka puasa bersama komuniti setempat.
Program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam memastikan kemeriahan Aidilfitri dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat di Daerah Subis.-EDISI UKAS