DBKU Tingkat Keceriaan Bandar Raya Kuching Sempena Ramadan & Aidilfitri
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mempertingkatkan tahap kemeriahan dan keceriaan kawasan pentadbirannya sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan tumpuan utama diberikan kepada kawasan pusat bandar Kuching.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha tersebut dilaksanakan saban tahun bagi memastikan suasana bandar raya sentiasa ceria, khususnya ketika musim perayaan.
“Untuk kawasan di bawah pentadbiran DBKU, dari tahun ke tahun kita sentiasa berusaha meningkatkan tahap kemeriahan dan keceriaan bandar raya, terutamanya semasa musim perayaan.
“Sehubungan itu, sempena sambutan bulan Ramadan dan seterusnya Aidilfitri yang bakal tiba, kawasan tumpuan kita adalah di pusat bandar Kuching, melibatkan kawasan Jalan Satok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Agihan Mushaf Wakaf Bahagian Kuching pada Rabu.
Sementara itu, beliau menambah, dalam tempoh dua hari lagi, DBKU akan melancarkan Bazar Aidilfitri di kawasan berkenaan dengan pelbagai persiapan termasuk pemasangan lampu hiasan secara besar-besaran.
“Di kawasan tersebut kita akan memasang lampu hiasan dalam jumlah yang banyak dan pada hari yang sama, pemasangan lampu hiasan turut dilaksanakan di Jambatan Kuching,” jelasnya.
Tambah beliau, antara lokasi lain yang turut dipertingkatkan dari segi pencahayaan dan keceriaan ialah Tebingan Sungai Kuching, Jambatan Darul Hana serta kawasan sekitar Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Pangkalan Sapi.
Dalam pada itu, beliau mengakui pihak DBKU turut berdepan kebimbangan susulan beberapa kejadian vandalisme yang berlaku baru-baru ini, termasuk insiden melibatkan sebuah stesen bekalan elektrik yang menyalurkan kuasa kepada lampu hiasan berhampiran jejantas di Taman Hussein, Petrajaya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak bagi membendung kejadian vandalisme daripada terus berulang.
“Saya berharap kita mendapat kerjasama daripada semua pihak dan individu. Jika boleh, elakkan daripada berlakunya perbuatan vandalisme kerana ia merugikan semua pihak serta menjejaskan usaha memperindahkan bandar raya ini.
“Kita telah memperindahkan bandar raya, namun usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya sekiranya kejadian seperti ini terus berlaku,” tegasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak berdiam diri dan segera melaporkan sebarang insiden vandalisme kepada pihak berkuasa bagi membantu membendung kejadian tersebut daripada terus berleluasa di bandar raya ini.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama. Sekiranya terdapat sebarang kejadian walaupun kecil, laporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau polis supaya kejadian vandalisme dapat dikurangkan di bandar raya kita,” katanya.-EDISI UKAS