Sarikei Tuan Rumah World #QuranHour 2026, Fokus Pengukuhan Jiwa Melalui Surah Al-Muzzammil
SARIKEI : Pustaka Negeri Sarawak cawangan Sibu akan menganjurkan World #QuranHour (WQH) 2026 peringkat Sarikei pada 11 Mac ini di Masjid Al-Muttaqin Sarikei bermula jam 9.00 pagi.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif global World #QuranHour yang mengajak umat Islam di seluruh dunia memperuntukkan satu jam untuk membaca, memahami dan menghayati al-Quran secara serentak.
Usaha itu bertujuan memperkukuh pengamalan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan seharian serta membina masyarakat berakhlak dan berteraskan ajaran Islam.
Bagi penganjuran tahun ini, Surah Al-Muzzammil ayat 1 hingga 20 dipilih sebagai fokus utama.
Surah berkenaan menekankan kepentingan persiapan rohani dan ketahanan spiritual dalam menghadapi cabaran dakwah serta ujian kehidupan.
Ayat-ayat tersebut merakamkan perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW supaya bangun malam untuk beribadah sebagai sumber kekuatan jiwa, di samping menegaskan bahawa al-Quran membawa amanah yang besar.
Ia turut menggariskan kepentingan kesabaran dalam menghadapi tentangan serta keperluan bertawakal sepenuhnya kepada Allah, selain menunjukkan keseimbangan Islam melalui keringanan ibadah mengikut kemampuan umat.
Selain program utama pada 11 Mac, pelbagai aktiviti sampingan akan dianjurkan bermula 6 Mac bagi menyemarakkan penglibatan komuniti.
Antaranya aktiviti kraf dan pertandingan azan untuk kanak-kanak, manakala orang dewasa boleh menyertai Bengkel Asas Khat, Bengkel Pengurusan Jenazah, Pertandingan Asas Khat serta Ceramah Komuniti.
Penganjuran WQH 2026 ini turut mendapat kerjasama Masjid Al-Muttaqin Sarikei, Perpustakaan Awam Sarikei serta Jabatan Agama Islam Sarikei bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai program berkenaan boleh menghubungi talian 084-315200 sambungan 221 atau 225.- EDISI UKAS