Program Juh Berambih Sungkai @ Dataran Pehin Setia Raja Mukah Serlah Semangat Kebersamaan
MUKAH: Semangat kebersamaan masyarakat majmuk di negeri ini terserlah dalam Program Juh Berambih Sungkai @ Dataran Pehin Setia Raja yang berjaya menarik hampir 1,000 pengunjung.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah, Pusat Khidmat N.57 Tellian, Pusat Khidmat N.58 Balingian dan Pusat Khidmat P213 Mukah pada Rabu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Hadir sama semasa program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi serta ADUN Tellian Royston Valentine.
Abdul Yakub berkata, walaupun program berteraskan aktiviti keagamaan, penganjurannya di ruang terbuka membolehkan penyertaan komuniti bukan Islam sebagai tanda solidariti dan saling menghormati budaya, selari dengan semangat masyarakat majmuk di Sarawak, khususnya di Mukah.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu turut mewujudkan kepercayaan antara komuniti dan institusi tempatan melalui interaksi santai yang secara tidak langsung meningkatkan kohesi sosial.
"Seterusnya, ia mewujudkan interaksi langsung antara pemimpin, agensi dan rakyat dalam suasana santai serta melahirkan generasi yang aktif dalam kerja kemasyarakatan dan penganjuran program komuniti," katanya.
Sementara itu, Royston memberitahu, program berkenaan bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya menjadi simbol kerjasama dan perpaduan dalam komuniti.
"Ramadan mengajar kita erti kesabaran, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
"Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja berkongsi juadah, tetapi turut berkongsi kasih sayang dan menghargai hubungan kita dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan program berkenaan tanpa mengira latar belakang.
Dalam pada itu, Pegawai UKAS Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim menjelaskan, program itu diadakan bagi menghidupkan suasana Ramadan melalui aktiviti berbuka puasa secara berjemaah, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
"Program di ruang awam seperti dataran ini memberi mesej keterbukaan dan inklusif, sesuai dengan konteks masyarakat majmuk, khususnya di bandar Mukah dan menjadi platform komunikasi dua hala secara tidak formal antara pemimpin dan masyarakat setempat.
"Alhamdulillah, program kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk di Mukah," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat khidmat N.57 Tellian, Pusat Khidmat N.58 Balingian dan Pusat Khidmat P.213 Mukah yang menyokong serta menyemarakkan lagi suasana berbuka puasa kali ini dengan pelbagai juadah untuk dikongsi bersama dan diagihkan kepada orang ramai.-EDISI UKAS