Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran Imarahkan Surau Kompleks Satria Pertiwi Sempena Ramadan
KUCHING: Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran dianjurkan untuk menghidupkan dan mengimarahkan Surau Kompleks Satria Pertiwi Sarawak pada waktu pagi sempena bulan Ramadan tahun ini.
Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang, berkata penganjuran majlis berkenaan telah bermula dari hari pertama Ramadan dan diakhiri dengan Majlis Khatam Al-Quran pada hari ini.
“Bermula sejak hari pertama Ramadan lagi kita telah berkumpul untuk menjayakan program ini dan Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat menutupnya dengan majlis khatam Al-Quran.
“Sesungguhnya program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan kita, malah menjadi satu usaha untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran serta mengambil keberkatan dalam menghidupkan bulan Ramadan yang mulia ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran di Surau Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Difahamkan, penganjuran majlis berkenaan merupakan yang julung kali diadakan oleh Biro Pendidikan Exco MAKSAK Wanita Sarawak dengan penyertaan dihadkan seramai 20 orang sahaja.
Turut hadir dalam majlis Khatam Al-Quran tersebut ialah anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari serta peserta majlis yang lain. -EDISI UKAS