Tabung Haji Komited Tingkat Mutu Perkhidmatan Pendeposit
LIMBANG: Lembaga Tabung Haji terus memperkukuh perkhidmatannya kepada para pendeposit melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan bagi memastikan urusan simpanan dan perjalanan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta efisien.
Pengurus Lembaga Tabung Haji Cawangan Limbang, Musapir Abdullah berkata, usaha tersebut merangkumi peningkatan sistem pengurusan, penyampaian maklumat terkini serta penyediaan perkhidmatan sokongan kepada bakal jemaah haji.
Menurutnya, Tabung Haji sentiasa komited memastikan setiap pendeposit memperoleh maklumat yang jelas berkaitan proses dan persiapan menunaikan ibadah haji.
“Perjalanan menunaikan ibadah haji merupakan perjalanan yang agung dalam hidup seorang Muslim. Kami di Lembaga Tabung Haji sentiasa berusaha menambah baik sistem serta pengurusan bagi mempermudahkan urusan para jemaah haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Badudun Ramadan dan Program Kasih Ramadan di Masjid Al-Asr Kampung Meritam, pada Rabu.
Tambahnya, Tabung Haji turut menawarkan produk perlindungan kepada pendeposit seperti TH Khairat yang memberi manfaat kepada waris sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya.
Skim tersebut hanya memerlukan langganan sebanyak RM28 setahun dan akan ditolak secara automatik daripada akaun pendeposit, dengan manfaat tuntutan sehingga RM12,000.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Limbang, Burhan Mahrin mengingatkan umat Islam agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, zakat fitrah hendaklah dibayar kepada amil yang ditauliahkan oleh pusat zakat bagi memastikan ia diurus serta diagihkan kepada golongan asnaf dengan teratur, dengan kadar yang ditetapkan sebanyak RM7.50 seorang.
Dalam program tersebut, TBS turut menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan telekung kepada 20 penerima dalam kalangan asnaf sebagai usaha membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
Turut hadir wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Abdul Rahman Iqbal Aldi, Ketua Bahagian TBS Bahagian Limbang Nor Nadiah Abas, Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal, serta Pengerusi Masjid Al-Asr Nayan Manglan. -EDISI UKAS