Rabani Meriahkan Juh Berambeh Sungkei @ Kuching 2026
KUCHING: Kumpulan nasyid popular Rabani dijangka memeriahkan Juh Berambeh Sungkei @ Kuching 2026 yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 14 Mac ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut dijangka menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana berbuka puasa yang penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Katanya, pihak penganjur juga membuka peluang kepada restoran serta orang ramai yang ingin menyumbang pek makanan kepada pengunjung program tersebut.
“Restoran atau mana-mana pihak yang mahu menyumbang food pack boleh menghantar sumbangan mereka seawal jam 2.30 petang di lokasi program,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Lan Berambeh Sungkei Belia 2026 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 1,500 bubur lambuk akan diagihkan kepada orang ramai sempena program Lan Berambeh Sungkei Belia 2026 yang akan diadakan di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan pada 7 Mac ini.
Menurutnya, program tersebut dijangka menghimpunkan kira-kira 1,700 peserta dan pengunjung yang akan bersama-sama berbuka puasa di lokasi berkenaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy