Konflik Timur Tengah Dijangka Jejas Industri Pelancongan Sarawak
KUCHING: Konflik yang berlarutan di Timur Tengah dijangka memberi kesan terhadap industri pelancongan Sarawak termasuk penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang dijadual berlangsung pada Jun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu mungkin berlaku sekiranya konflik tersebut berlarutan sehingga menjejaskan pergerakan pelancong antarabangsa.
Menurut beliau, Sarawak menerima jumlah pelancong yang tinggi dari negara Eropah seperti Jerman dan United Kingdom yang merupakan antara penyumbang utama kehadiran pelancong ke negeri ini.
“Jika konflik ini berlanjutan dalam tempoh yang lama, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kita, termasuk terhadap Rainforest World Music Festival pada Jun nanti.
“Kita tidak tahu kemungkinan ramai yang akan membatalkan perjalanan kerana bulan Jun sudah semakin hampir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Lan Berambeh Sungkei Belia 2026 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim menegaskan bahawa semua pihak mengharapkan keamanan dan tidak mahu melihat sebarang konflik atau huru-hara berlaku di dunia.
Menurutnya, setiap negara perlu mengutamakan hubungan yang aman dan saling menghormati demi memastikan kestabilan serta kesejahteraan masyarakat global.
“Kita tidak mahu melihat huru-hara berlaku. Kita mahu hidup dalam negara yang cintakan keamanan dan berharap semua negara di dunia dapat hidup secara aman antara satu sama lain,” katanya.
Beliau dalam masa sama berharap rakyat Sarawak yang berada atau terkandas di kawasan terjejas akibat konflik tersebut agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy