SABERKAS Kongsi 1,000 Pek Bubur Lambuk Kepada Orang Ramai Di Mukah
MUKAH: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) mengagihkan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai menerusi program Jerayawara Bubur Lambuk yang diadakan di Dataran Pehin Setia Raja, di sini pada Rabu.
Program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi bersama ADUN Tellian, Royston Valentine.
Menurut Abdul Yakub, penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat setempat.
Beliau berkata, inisiatif kebajikan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan mencerminkan semangat keprihatinan serta nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, Royston berkata kerjasama erat antara pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut menunjukkan komitmen berterusan untuk menyantuni rakyat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut dianjurkan oleh SABERKAS Cawangan Tellian dan SABERKAS Cawangan Balingian dengan kerjasama Pusat Khidmat N57 Tellian, Pusat Khidmat N58 Balingian serta Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kedua-dua kawasan berkenaan.-EDISI UKAS