UTS Universiti Pertama di Malaysia Guna Teknologi Pencahayaan LED Cekap Tenaga
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjadi universiti pertama di Malaysia melaksanakan teknologi pencahayaan LED cekap tenaga bersama sistem automasi pencahayaan bagi mengurangkan penggunaan tenaga di kampusnya.
Inisiatif tersebut dimeterai menerusi perjanjian persefahaman (MoA) antara UTS dan Visi Utama Sdn Bhd yang berlangsung di kampus universiti berkenaan di sini, pada Khamis.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid bagi pihak universiti, manakala Visi Utama Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Henry Kung Sie Ing.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pendaftar UTS, Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman serta Pengurus Besar Visi Utama Sdn Bhd, Raymond Chai Nyap Loong.
Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan kajian lanjutan berkaitan teknologi yang digunakan serta menilai kaedah penambahbaikan sistem berkenaan pada masa hadapan dengan penglibatan kakitangan akademik dan penyelidik universiti.
Menurut Datuk Dr Khairuddin, pelaksanaan teknologi berkenaan selaras dengan konsep Kampus Hijau yang diterapkan oleh universiti itu, di mana pembangunan infrastruktur sentiasa diselaraskan dengan penggunaan teknologi mesra alam serta cekap tenaga.
Beliau berkata, keputusan awal selepas pemasangan sistem pencahayaan baharu itu menunjukkan potensi penjimatan tenaga yang ketara di kampus berkenaan.
“Data yang diperoleh daripada projek ‘proof of concept’ yang dilaksanakan tahun lalu menunjukkan hasil yang sangat positif.
“Perbandingan antara sistem pencahayaan sedia ada dengan peranti baharu yang diperkenalkan oleh Visi Utama Sdn Bhd menunjukkan potensi penjimatan tenaga minimum sehingga 60 peratus.
“Bagi sistem penyaman udara pula, ujian yang dijalankan menunjukkan potensi penjimatan tenaga sekurang-kurangnya 35 peratus,” katanya.
Tambah beliau, data yang dikumpulkan melalui pelaksanaan projek tersebut amat bernilai kerana sistem berkenaan telah diuji secara praktikal melalui proses pemasangan, pengukuran dan analisis yang dilaksanakan oleh kakitangan universiti sendiri.
“Pengalaman dan data yang diperoleh di UTS boleh menjadi rujukan kepada agensi kerajaan serta sektor swasta yang ingin mengurangkan kos penggunaan tenaga,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif tersebut juga berpotensi diketengahkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Salah satu teras utama dalam PCDS 2030 ialah kelestarian alam sekitar. Justeru, inisiatif ini merupakan antara usaha UTS untuk membantu kerajaan negeri mencapai matlamat tersebut,” katanya lagi.-EDISI UKAS