Pendam & Sundar Diwartakan Sebagai Jelapang Padi Baharu Utara Sarawak
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda sekuriti makanan negeri apabila kawasan Pendam dan Sundar di Bahagian Limbang secara rasmi diwartakan sebagai kawasan jelapang padi baharu di utara Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pewartaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas kawasan penanaman padi secara terancang serta berimpak tinggi.
Menurut beliau, kawasan Pendam melibatkan keluasan kira-kira 809 hektar manakala kawasan Sundar seluas 300 hektar telah digazetkan khusus bagi pembangunan jelapang padi.
“Kedua-dua kawasan tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri (state land) yang telah diperuntukkan secara rasmi bagi tujuan penanaman padi sebagai sebahagian daripada perancangan strategik kerajaan negeri dalam sektor agromakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Badudun Ramadan di Masjid Darul Muttaqin Kampung Gadong, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pertanian komersial, pengukuhan rantaian bekalan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan harapan agar Projek Pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua dapat disiapkan pada tahun ini bagi membolehkan penduduk di kawasan berkenaan menikmati kemudahan perhubungan yang lebih lancar selain menjimatkan masa perjalanan.
Menurutnya, pembinaan jambatan tersebut dijangka memudahkan urusan harian penduduk yang sebelum ini bergantung kepada bot tambang, feri serta laluan alternatif yang lebih jauh.-EDISI UKAS