Sarawak Perluas Intervensi Awal Digital, Tangani Jurang Pendidikan Kanak-kanak Berkeperluan Khas
KUCHING: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha memperluas akses intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas menerusi pelaksanaan program saringan perkembangan dan intervensi digital secara menyeluruh di tadika SEDIDIK bermula tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menutup jurang akses pendidikan awal yang dikenal pasti melalui data semasa melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.
Menurut beliau, terdapat sebahagian kanak-kanak berkeperluan khas yang terus memasuki Tahun Satu tanpa pernah melalui program intervensi awal atau prasekolah, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi kesiapsiagaan pembelajaran.
“Maklumat awal yang kita peroleh menunjukkan ada kanak-kanak berkeperluan khas memasuki Tahun Satu tanpa pernah menghadiri prasekolah atau program intervensi awal.
“Ini perkara yang perlu kita tangani segera kerana kita percaya intervensi awal sangat penting,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak Sarawak (OSEIC) Bil.1/2026 di OSEIC Matang, di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, sejak beroperasi selepas pandemik COVID-19 dengan sasaran awal 100 kanak-kanak, OSEIC kini mencatat peningkatan ketara apabila seramai 593 kanak-kanak sedang mengikuti program intervensi awal di pusat tersebut.
“Jumlah itu merangkumi 518 kanak-kanak dalam program intervensi awal serta 75 kanak-kanak dalam program lain, namun pada masa sama kita masih mempunyai senarai menunggu seramai 412 kanak-kanak,” jelasnya.
Bagi mengurangkan tempoh menunggu, OSEIC akan memperkenalkan sesi intervensi tambahan pada hujung minggu dengan penglibatan guru terlatih mengikut nisbah intervensi yang bersesuaian dengan tahap keperluan kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut melaksanakan peluasan program saringan perkembangan digital dan intervensi di semua tadika SEDIDIK di seluruh Sarawak selepas kejayaan projek perintis yang dijalankan sejak 2024.
Melalui pelaksanaan baharu ini, seramai 1,800 kanak-kanak akan menjalani saringan perkembangan awal manakala 140 guru akan menerima latihan peningkatan kemahiran profesional bagi mengendalikan intervensi digital tersebut.
Tambah beliau, usaha tersebut turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila model intervensi awal digital Sarawak berjaya menarik sokongan dana luar negara daripada beberapa organisasi termasuk Nippon Foundation, Walton Family Foundation dan Hong Leong Foundation.
Menurutnya, setakat ini program berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 700 kanak-kanak serta melatih puluhan guru dalam pelaksanaan intervensi digital di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan negeri kini tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu memastikan akses intervensi awal kepada semua kanak-kanak berkeperluan khas, meningkatkan kualiti latihan guru serta memperkukuh sokongan kepada ibu bapa dan institusi pendidikan.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah usaha memperkukuh latihan profesional guru OSEIC menerusi program pembangunan kapasiti bersama Australian Institute of Technology Transfer yang dibiayai oleh Yayasan Sime Darby.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS